Ilmuan Islam: Konsep Pluralisme Agama boleh Rosakkan Akidah
:: 18 November 201::
KUALA LUMPUR - Kalangan pemikir Islam hari ini melahirkan kebimbangan
terhadap penularan konsep pluralisme agama di negara ini yang menurut
mereka sekiranya dibiarkan berleluasa boleh merosakkan akidah umat Islam
terutama di kalangan generasi muda. Justeru, mereka berharap semua umat Islam tanpa mengira profesion serta
kedudukan dalam masyarakat memainkan peranan bersama-sama pihak
berkuasa agama Islam di negeri-negeri memerangi fahaman ini agar
kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini akan terus
terpelihara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Mufti Kedah Datuk Syeikh Hassbullah Abd Halim yang melahirkan
kerisauan itu berkata fahaman pluralisme agama itu menganggap semua
agama itu sama nilaiannya di sisi tuhan."Maka itu pastinya bertentangan dengan akidah Islam dan boleh membawa kepada kekufuran."Saya nampak usaha untuk sebar luas fahaman pluralisme agama di
kalangan umat Islam semakin menjadi-jadi. Oleh itu umat Islam yang cintakan agamanya harus bertindak atas kapasiti masing-masing, yang mana
kerajaan cara kerajaan, ilmuwan cara ilmuwan," katanya kepada Bernama.
Syeikh Hassbullah berkata bagi memerangi fahaman itu, umat Islam di
negara ini perlu mengukuhkan kesatuan serta perpaduan dengan cara
kembali kepada landasan Islam sebenar seperti yang disyariatkan oleh
Nabi Muhammad SAW.Beliau berkata agensi agama seperti Jabatan Agama Islam di setiap
negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula wajar memainkan
peranan memberi penerangan dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat
Islam berhubung fahaman itu. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ilmuan Muda (Ilmu) Ustaz
Fathul Bari Mat Jahaya berkata pluralisme merupakan satu fahaman yang
menerapkan sikap toleransi yang terlampau dengan beralaskan perspektif
barat."Saya tertunggu-tungu Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan
satu fatwa yang jelas mengenai fahaman ini kepada umat Islam sebagai
rujukan," katanya.
Beliau berkata fatwa itu wajar dilaksanakan bersama tindakan dan
penguatkuasaan agama yang ketat supaya usaha membanteras gejala itu
dapat dilaksanakan secara efektif. "Saya tekankan di sini perlu periksa KPI (Petunjuk Prestasi Utama)
penguatkuasaan agama agar tidak jadi keadaan hanya sekadar ada fatwa
tetapi lemah dari segi tindakan dan penguatkuasaan," katanya.Fathul Bari berkata antara kekangan yang dihadapi umat Islam kini
dilihat kekurangan ilmu pengetahuan agama dan kebanyakannya terlalu
fanatik kepada parti tertentu mahupun individu."Penyelewengan terhadap hadis dan ayat al-Quran juga berlaku sekarang
yang mana semua ini boleh diatasi dengan cara kembali berpandukan kepada
ajaran Islam sebenar berdasarkan al-Quran dan Al-Sunnah," katanya.
Imam Masjid Negara Azhar Tuarno pula berkata generasi muda perlu lebih
berhati-hati dengan konsep kebebasan, terutama dalam soal melibatkan
akidah Islam.Beliau berkata dengan perkembangan teknologi tanpa sempadan masa kini,
perhubungan antara manusia adalah lebih mudah, meluas dan bebas.
"Apa sahaja sekarang boleh dicapai dihujung jari, ini yang kita risau,
terutama generasi baharu yang kurang pengetahuan agama, kita takut
perkara yang melibatkan akidah boleh berlaku," katanya. Dalam hal ini, katanya pendakwah Islam dan juga orang ramai perlu
memainkan peranan lebih aktif untuk turut terlibat membendung daripada
penyebaran maklumat yang dapat memesongkan akidah.
"Tidak salah menggunakan medium sosial untuk berdakwah, seperti facebook, twitter," katanya.
Azhar yang juga pendakwah bebas, tidak menafikan semua agama membawa ke
arah kebaikan, namun beliau berkata konsep 'baik' bagi setiap agama
adalah berbeza."Ini kita perlu lihat kembali dan fikir secara mendalam," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment